DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
MASA ADALAH PEDANG
Hargailah masa yang ada utk dakkwah dan jihad fisabilillah...

InsyaAllah blog ini sebagai perkongsian ilmu bersama...
Selamatkan Palestin dengan tangan-tangan kita berjihad menentang Yahudi laknatullah.. Allahuakbar...!!!!

Sabda Rasulullah s.a.w.,

"Sungguh,jika ka'abah diruntuhkan batu demi batu, itu adalah masih ringan disisi ALLAH...berbanding ditumpahkan darah seorang ummat Islam".


Muslim...

Marilah kita sama2 doakan agar saudara seislam kita di filistin mendapat kemenangan,menegakkan agama Islam...jika berkesempatan..marilah sama2 berjuang...

dan tegakkan Khilafah...

sesungguhnya semua ummat Islam itu bersaudara...

DENGARKAN

PERTUNANGAN.

Tuesday, May 4, 2010 at 2:18 AM



PERTUNANGAN.

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun
yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya
beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan
untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang,
terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi
tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan
terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku
juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi
Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa
melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan
sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku
yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.


Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak
sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik
Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap
langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang
sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri
Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri
Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku
berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak
mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu
soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu
memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam
penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh
tatasusila.


"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"


Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."


"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."


"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."


Ibu angguk perlahan.



Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian
naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam
Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga
yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia
tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang
lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku
mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam
al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah
yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh.
Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya
orang-orang yang mendahului.



"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"



Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku
masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat
penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara
aku dan keluarga.


"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan
Allah. Itu yang paling utama."


Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.



"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"



Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan
ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang
berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku
dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu
terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain
kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan
menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.



"Bila enti menikah?"


Aku tiada jawapan khusus.



"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri
tidak tahu bila tarikhnya.


"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana
banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu
melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri.
Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan
tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung
aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti
orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku
katakan sekali lagi kepada ibu...


"Usah berlebihan ya..."


Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.



"Insyirah, jom makan!"


Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan
senyuman.


"Tafaddal, ana puasa."


Sahabiah juga semakin galak mengusik.


"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya
tak tetap lagi ke?"


"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan
lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku
sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan
penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan
terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku,
itu sahaja.

..........................
.............


"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."


"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."


"Ya Allah, tenangnya..."


"Moga Allah memberkatinya...."


Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada
ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput
sendiri.


Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan
umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang
mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...


Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam
rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya
merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang
mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa,
yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku
tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau
redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai
sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...


"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada
tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa
minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."


"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu
ditahan.


"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."


Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku
bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak
cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa.
Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."


Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap
kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan
satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada
ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan
apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati
seorang ibu."


* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang
sedang membaca/tak) *


Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana,
ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi,
sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama
akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.


Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada
hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah
tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju
pernikahannya... Untungnya Insyirah.

"sesungguhnya
Allah maha adil..

0 comments

Post a Comment

Powered by Blogger | Entries (RSS) | Comments (RSS) | Designed by MB Web Design | XML Coded By Cahayabiru.com | Distributed by Sorpotel Recipe |